Mereka yang sesat hampir 15 jam ketika melakukan aktiviti men­daki di hutan tersebut buntu apabila tidak berjaya mencari jalan pulang setelah reben yang ditanda ketika mula mendaki ti­dak dijumpai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang semalam, Mohd. Amir Haziq Iqramudin, Mohd. Azrul Azizi Mohd. Zaidi, Mohd. Khairul Muttaqim Mohd. dan Muhamad Afif Samsudin yang kesemuanya berusia 14 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Bentara Luar dilaporkan sesat.

Menurut Mohd. Khairul Muttaqim, mereka mula panik apabila cuaca semakin gelap dan berusaha untuk mencari jalan keluar tetapi apabila memikirkan ke­selamatan, mereka hanya duduk di satu tempat.

“Kami cuba berpatah balik ikut jalan mula-mula masuk tapi tidak jumpa reben yang ditanda. Jadi, apabila hari makin gelap, salah seorang kawan berkongsi lokasi dengan rakan lain bagi mem­bo­leh­­kannya melaporkan ke­pada pa­sukan penyelamat.

“Tetapi, setelah beberapa jam, bateri telefon lemah dan tidak bo­leh berhubung lagi. Jadi, kami ambil keputusan untuk duduk dan tidur sahaja di satu tempat,” katanya ketika ditemui di kaki gunung tersebut di sini hari ini.

Jelasnya, kira-kira pukul 3 pagi, mereka terjaga dan mendengar bunyi seperti air mengalir di kawasan berhampiran.

“Masa itu juga kami macam dengar bunyi motosikal. Kami mahu ke sana tetapi risau sebab ada kawasan curam. Jadi, kami terus duduk sahaja di situ sehingga hari cerah.

“Selepas itu, kami mula ber­gerak dan ternampak kesan tapak kasut pasukan penyelamat serta pokok yang baru dicantas, mungkin sebagai penanda,” katanya yang bersyukur kesemua mereka selamat.

Sementara itu Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kesemua remaja berkenaan ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira pukul 10 pagi dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

“Keadaan mereka dilihat stabil tetapi tetap dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk menjalani pemeriksaan sebagai pesakit luar,” katanya.

Beliau akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Daerah agar mewujudkan larangan mendaki gunung berkenaan selepas pukul 6 petang.