Dalam insiden di Kampung Bukit Batu, Senggarang pukul 6.15 pagi, Ithnin Tahir, 61, dan ibunya, Surip Damiri, 80, maut di tempat kejadian apabila Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Toyota Vios.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, siasatan awal mendapati, bahagian kanan kenderaan mangsa dipercayai dilanggar Toyota Vios tersebut ketika sedang keluar simpang dari arah Kampung Bukit Batu.

“Pemandu sebuah lagi kenderaan yang berusia 26 tahun turut cedera parah akibat kejadian itu, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Abdul Wahib berkata, dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Lima, Parit Sulong pula, mangsa, Abd. Rozan Abdul Kadir, 32, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian kira-kira pukul 1 pagi.

Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Proton Saga dinaiki dua wanita dari arah bandar Batu Pahat tiba-tiba dilanggar motosikal ditunggang mangsa yang tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kanan arah Parit Sulong.

Menurutnya, seorang lagi penunggang motosikal, Saipolnizam Aman, 37, turut menemui ajal apabila motosikal jenis Suzuki RGV ditunggangnya dipercayai terbabas di Parit Haji Salleh Ros, Parit Raja kira-kira pukul 2 pagi.

“Dalam tempoh beberapa jam terdapat tiga kemalangan maut yang melibatkan empat kematian. Justeru, saya menasihati orang ramai agar berhati-hati memandu dalam cuaca yang tidak menentu dan patuhi undang-undang jalan raya,” katanya.

Katanya, mayat keempat-empat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat dan kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.