Kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu menyebabkan permukaan jalan di lokasi berkenaan bertukar warna putih di kedua-dua arah.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, lori muatan lapan tan itu dalam perjalanan dari Meru, Selangor menuju ke Lukut di sini membawa enam tong berisi 6,000 liter asid nitrik.

"Sebaik tiba di satu selekoh, lori itu terbabas menyebabkan keenam-enam tong bahan kimia tersebut terjatuh di jalan raya. Empat daripadanya mengalami kebocoran.

"Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) mengambil masa setengah jam untuk mengawal asid nitrik yang tumpah daripada mengalir ke sumber air. Usaha menyedut bahan kimia tersebut kemudian dijalankan oleh syarikat pemandu lori itu," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kenderaan berat itu tidak mengalami kerosakan dan pemandunya yang berusia 40-an juga tidak cedera.

Beliau berkata, walaupun bahan kimia dengan 70 peratus bahan titanium dioksida tidak merbahaya kepada manusia, asid berkenaan dikhuatiri menyebabkan sungai tercemar dan boleh membunuh ikan serta hidupan air lain.

Ujarnya, operasi itu melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan 13 anggota termasuk Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, selain dibantu polis dan Jabatan Alam Sekitar. - UTUSAN ONLINE