Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Shahrul Nizam Johari berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kejadian pukul 10.44 pagi dan menggerakkan sebuah jentera bersama-sama tujuh anggota ke tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati lori pasir berkenaan dalam perjalanan dari arah Bandar Tenggara ke Bukit Besar, manakala kereta berkenaan dari arah bertentangan sebelum bertembung di lokasi kejadian.

“Tiga mangsa, iaitu seorang lelaki dan dua wanita yang merupakan penumpang hadapan dan belakang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta, iaitu seorang lelaki mengalami cedera parah,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Shahrul Nizam berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang kemudiannya dihantar ke Hospital Besar Kota Tinggi.

Pemandu lori pasir berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan. - UTUSAN ONLINE