Dalam kemalangan pada kira-kira pukul 2.40 pagi itu, mangsa, Maslan Hassan, 55, yang berada di tempat duduk belakang maut di tempat kejadian bersama seorang anak perempuannya, Nur Fa­shiera Mohammad Rusdi, 25, yang duduk di bahagian penum­pang hadapan.

Mangsa ketiga, Muhammad Faiziel, 27, yang memandu kenderaan terbabit meninggal dunia petang ini ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Krai.

Maslan dan Nur Fashiera dikatakan maut akibat tercampak keluar selepas kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki mereka berempat terbabas ke cerun jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik di situ.

Sementara itu, seorang lagi anak pe­rempuan Maslan, Nur Farrah Ezlyn, 22, yang berada di tempat duduk belakang, patah tangan kiri.

Difahamkan, keluarga ber­kenaan dalam perjalanan dari Damansara, Kuala Lumpur untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di Kampung Rekang Hilir Jelawat, Bachok.

Ketua Polis Daerah, Supe­rintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu kenderaan terbabit dari arah Gua Musang ke Kuala Krai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian lalu terbabas ke cerun jalan sebelah kanan dan melanggar tiang elektrik.

Menurutnya, akibat rempuhan kuat tersebut, dua mangsa tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa yang cedera iaitu pemandu kenderaan dan adik pe­rempuannya dirawat di Hospital Gua Musang. Mayat dua mangsa yang maut juga dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nur Farrah Ezlyn berkata, mereka bertolak pulang ke kampung halaman agak lewat iaitu pada pukul 9 malam semalam kerana perlu menunggu Allahyarham Nur Fashiera yang baharu selesai bekerja di butik.

“Saya tidak sedar bagaimana kejadian itu berlaku kerana tidur di tempat duduk belakang dan bila sedar, saya sudah berada dalam ambulans,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang.