Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal berkata, kesemua pelajar itu adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri Resort dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort di sini.

“Oleh kerana sekarang ianya (kejadian) melibatkan peringkat negeri... Saya tidak boleh memberi kenyataan lanjut,” katanya ditemui pemberita di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih, di sini hari ini.

Dr. Sahruddin meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat mangsa yang dirawat di dewan berkenaan.

Terdahulu, pelajar SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri Resort mengalami simptom sama dengan mangsa dari SK Taman Pasir Putih dan SMK Pasir Putih Khamis lalu apabila pelajarnya mengalami sesak nafas, loya dan muntah ketika berada di sekolah.

Turut kelihatan di dewan berkenaan ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Yahaya Madis; Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Selahuddeen Abd Aziz. - UTUSAN ONLINE