Kemalangan kira-kira pukul 10.30 malam itu berlaku apabila salah seorang daripada mereka yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal lain jenis Honda EX5.

Akibat pertembungan itu, penunggang motosikal Honda EX5 berkenaan, Mohamad Nasrul Mohamad Abdah, 25, dan pemboncengnya, Wahadi Wahadat Rani, 23, maut di tempat kejadian.

Penunggang Yamaha 125Z, Muhamad Hafis Izudin Muzaran, 17, dan pembongceng, Muhamad Hafis Aiman Rosly, 17, pula cedera parah dan dirawat di Hospital Lipis.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azry Akmar Ayob berkata, dua lagi remaja iaitu penunggang sebuah lagi motosikal jenis Yamaha 125Z, Mohammad Hanaffi Mat Satar, 22, dan penunggang motosikal Honda EX5, Muhamad Naqqiuiman Rosdi, 15, yang turut terlibat dalam kemalangan itu mengalami cedera ringan.

Beliau berkata, kemalangan melibatkan dua motosikal jenis Honda EX5 dan dua Yamaha 125Z.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa Mohammad Hanaffi, Muhamad Naqqiuiman dan Muhamad Hafis Izudin dalam perjalanan dari pasar malam Sungai Koyan menuju pulang ke rumah masing-masing di Kuala Medang, Lipis,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Azry Akmar, dalam perjalanan pulang itu, mereka dipercayai menguji kelajuan kenderaan masing-masing.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang Muhamad Hafis Izudin memotong dua lagi motosikal sebelum bertembung dengan Mohamad Nasrul Mohamad,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.