Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 malam itu, tumpahan cecair kimia terbabit disedari penghuni sebuah daripada enam buah rumah terlibat selepas pemeriksaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri.

Bagaimanapun hasil maklumat awal JBPM negeri, lima rumah lain dikatakan dikhuatiri turut berlaku tumpahan cecair berbahaya berkenaan sebelum pemeriksaan dilakukan di semua rumah berkenaan.

Penolong Kanan Penguasa Bomba, Balai Bomba dan Penyelamat Kepala Batas, Abdul Aziz Yusuff berkata, hasil pemeriksaan ke atas rumah pertama, pihak­nya menemukan sisa tumpahan merkuri di ruang tamu dan sekitar hadapan rumah terbabit.

Katanya, penghuni rumah terlibat diarah mengosongkan rumah bagi memastikan tidak terdedah kepada bahan kimia berkenaan.

“Namun ketika pemeriksaan lanjut dijalankan, kami difahamkan terdapat lima rumah lain yang turut dipercayai terdapatnya cecair kimia ini.

“Semua penghuni rumah itu kemudiannya diarah mengosongkan rumah masing-masing dan pemeriksaan dijalankan mendapati ada kesan merkuri ini di semua rumah terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah beliau, semua penghuni rumah terlibat dikejarkan ke dua hospital iaitu Hospital Kepala Batas dan Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan lanjut.

“Kita khuatir semua penghuni rumah termasuk bayi dan ibunya itu dicemari bahan kimia tersebut dan menyerahkan pihak hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut terhadap semua mereka,” ujarnya.