Ini kerana operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang disambung pagi ini masih belum berjaya mengesan atau menjumpai 14 kru berkenaan.

Pengarah Operasi Maritim Malaysia Daerah Tanjung Sedili, Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, setakat pukul 2.30 petang ini, pihaknya belum mendapat sebarang petunjuk di mana lokasi kesemua mangsa, malah turut berdepan kesukaran kerana keadaan laut yang bergelora.

“Kejadian itu berlaku pukul 4.20 pagi, ada kemungkinan kesemua mangsa masih terperangkap di dalam perut kapal kerana sedang tidur ketika kapal itu terbalik dipukul ombak kuat,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti Tanjung Pengelih, Pengerang, di sini hari ini.

Yang turut hadir meninjau lokasi operasi SAR ialah Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad.

Dalam kejadian itu, kapal Ocean Line 208 yang dipercayai membawa muatan pasir dari Teluk Ramunia Offshore menghala ke perairan Pengerang karam di Tanjung Punggai setelah dipukul ombak kuat.

Insiden tersebut menyaksikan hanya seorang kru berjaya diselamatkan, iaitu ketua jurutera, Li Guozheng, 51, dari Zhenjiang, China, manakala 14 yang lain termasuk seorang rakyat Malaysia, Raja Mohammad Firdaus, 23, yang berasal dari Selangor masih hilang.

Mustafa Kamal berkata, operasi SAR tersebut disertai lebih 50 pegawai dan anggota daripada Maritim Malaysia, polis marin, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Laut dengan menggunakan lima aset, iaitu tiga kapal dan dua bot laju.

Beliau berkata, kapal korek tersebut kini ditarik menggunakan kapal tunda milik Jabatan Laut ke Pantai Tanjung Punggai dan dijangka mengambil masa antara enam hingga 10 jam, bergantung kepada keadaan cuaca dan kelajuan kapal.

“Setelah kapal tersebut tiba di pesisir pantai, kita akan hantar skuad penyelam TLDM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masuk mencari mangsa di dalam perut kapal.

“Sekiranya mangsa terperangkap di dalam kapal, peratusan mereka masih selamat bergantung kepada daya tahan diri dan oksigen di tempat itu,” katanya sambil memberitahu pihaknya turut memperluaskan kawasan carian sehingga 14.4 kilometer.