Kebakaran jam 3.50 pagi itu turut memusnahkan lima daripada rumah berkenaan yang dijadikan stor namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Antara kereta yang terbabit ialah Toyota Vellfire, Suzuki SJ, Suzuki Swift, Perodua Kancil serta kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Abdul Nasir Jalil berkata, dua jentera dengan 11 anggota serta 10 pasukan bomba sukarela bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam dan berjaya mengawal kebakaran dalam masa 20 minit.

"Tindakan pantas bomba juga berjaya menyelamatkan lapan buah rumah berhampiran daripada musnah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.



Abdul Nasir berkata, punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang mangsa K. Morgan,48, berkata ketika kejadian beliau sedang lena tidur sebelum terjaga akibat mendengar jeritan penduduk.



"Saya mengejutkan anak dan isteri untuk menyelamatkan diri kerana api sedang marak berdekatan rumah sewa kami," katanya. 



Dalam pada itu, Anggota Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat turut melawat tempat kejadian.

Sham berkata pihaknya akan meminta Jawatankuasa Bencana Daerah untuk memberikan bantuan kepada mangsa terbabit. - BERNAMA