Kemalangan melibatkan kereta Toyota Yaris dipandu seorang lelaki warganegara Thailand bersama-sama isteri dan seorang anaknya dengan kereta Perodua Viva dipandu wanita warga tempatan bersama-sama seorang lagi wanita.

Kejadian berlaku apabila kereta dipandu warga Thailand itu melanggar Viva tersebut hingga mengakibatkannya terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan.

Penumpang Viva berkenaan yang merupakan wanita berusia 50-an tersepit di tempat duduk pemandu sebelum orang ramai menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, Mohd. Khairul Sufian Dahri berkata, seramai lima anggota bersama-sama satu jentera digerakkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.45 pagi.

"Mangsa Viva dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan disahkan oleh pegawai perubatan yang turut hadir di lokasi. Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

"Lelaki warga Thailand hanya mengalami cedera ringan begitu juga penumpang wanita dalam Toyota Yaris hanya cedera ringan dan seorang kanak-kanak bersama-samanya juga terselamat.

"Pemandu Perodua Viva yang merupakan wanita berusia 20-an turut tercedera. Operasi tamat pukul 7.28 pagi," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE