Kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 10 malam itu telah memusnahkan sisa kayu balak yang telah diproses di kawasan terbuka seluas 0.01 hektar tersebut.

Menurut Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba Azmi Ab. Rahim, kebakaran itu disedari seorang pengawal keselamatan yang sedang melakukan rondaan di kawasan kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 10.14 malam dan sepasukan lima anggota bomba bersama kekuatan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Turut dikejarkan ke lokasi kejadian ialah dua jentera FRT dan sebuah lori tangki air dengan kekuatan seramai 15 orang anggota termasuk pegawai bomba dari pejabat zon 2, Balai Bomba dan Penyelamat Chukai serta Kemaman telah digerakkan ke lokasi bagi operasi pemadaman tersebut,” katanya di sini hari ini.

Setiba di lokasi kejadian, jelas beliau, pihaknya mendapati kebakaran sudah merebak sebanyak 80 peratus sebelum berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak.

“Kita akan memantau keadaan lokasi kejadian bagi memastikan bara api tidak ditiup angin ke kawasan lain sehingga mengakibatkan kebakaran lain,” katanya.

Azmi turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membuang puntung rokok merata bagi mengelak berlaku kebakaran khususnya ketika cuaca panas sekarang ini. - UTUSAN ONLINE