KUALA LUMPUR 11 Jan. - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi internet untuk membuat pernyataan jelik melalui laman blog miliknya berhubung gesaan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan, tiga tahun lalu.
Hakim Zaman Mohd. Noor memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaid, 67, selaku orang kena saman (OKS) pada akhir kes pendakwaan.
“Terdapat lompong dalam kes pendakwaan selain percanggahan kenyataan antara saksi-saksi pendakwaan,” katanya.
Zaid yang merupakan ahli DAP didakwa menggunakan aplikasi itu dan secara sedar membuat pernyataan yang jelik dalam blog miliknya, www.zaid.my/current-rally-behind-tun-dr-mahathir-mohamad/ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman di sini, kira-kira pukul 3.30 petang, 3 September 2015.
Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 akta sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.-UTUSAN ONLINE