Zahid, 66, membuat peng­akuan tidak bersalah selepas pertuduhan itu selesai dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dengan pertuduhan baharu hari ini, ia menjadikan pertuduhan terkini bekas Timbalan Perdana Menteri menjadi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Mengikut pertuduhan, Zahid sebagai pemegang amanah dana yayasan itu didakwa mela­kukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM260,000 dengan membuat bayaran kepada syarikat TS Consultancy & Resources.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad Cawangan Jalan Bunus, No. 133, Jalan Bunus melalui Jalan Masjid India di sini pada 23 Disember 2016.

Pertuduhan itu dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan tidak mencadangkan sebarang ikat jamin kerana mengguna pakai jaminan terdahulu.

Mahkamah menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Sazilee memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan dua set dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Perkara itu disahkan oleh peguam bela Ahli Parlimen Bagan Datuk, Hamidi Mohd. Noh dan akan membuat semakan terhadap dokumen tersebut.

Dalam prosiding hari ini, Zahid turut diwakili barisan peguambela, Hisyam Teh Poh Teik, Kitson Foong dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Mohd. Haziq Dhiyauddin dan Asilah Mohamad Shahril.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember tahun lalu, Zahid mengaku tidak bersalah atas 46 pertuduhan iaitu 11 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.