Majistret Mohd. Ikhwan Mohd. Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Cheong Chee Weng, 67, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Mengikut pertuduhan, Chee Weng didakwa telah memandu sebuah kereta dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian terhadap Hasnor Balkis, 30, di Persiaran Teknologi Subang, persimpangan masuk Jalan Delima dari arah Batu Tiga menghala ke USJ dekat sini kira-kira pukul 8.40 pagi, 10 Ogos 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan boleh dihukum penjara 12 bulan.


Terdahulu, peguam Razlan Hadri Zulkifli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan berbentuk denda atas alasan anak guamnya sudah berusia dan menghidapi penyakit darah tinggi dan hepatitis.


“Anak guam saya juga merupakan penanggung utama keluarga dan perlu menjaga seorang anak yang masih belajar di kolej,” katanya.


Timbalan Pendakwa Raya, Ng Wee Li bagaimanapun membantah permohonan itu mengambil kira faktor kesalahan yang dilakukan adalah serius sehingga menyebabkan kematian terhadap mangsa.


“Tiada dokumen sokongan yang dikemukakan berhubung penyakit yang dihidapi tertuduh dalam kes ini selain kes ini telah melalui perbicaraan penuh sejak Februari tahun lalu, oleh itu saya mohon satu hukuman berat,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda selain merekodkan kesalahan itu di dalam lesen memandunya.


Difahamkan, kemalangan itu berpunca daripada tertuduh yang tidak nampak motosikal mangsa ketika ingin membelok Di persimpangan. - UTUSAN ONLINE