JHO LOW
LOW TAEK JHO

Waran tangkap terhadap dua beranak itu dikeluarkan selepas mahkamah membenarkan permohonan polis dan Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan perintah tersebut bagi membantu siasatan berhubung tuduhan pengubahan wang haram membabitkan skandal tersebut.

Difahamkan permohonan waran tangkap itu dikeluarkan bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan mendapatkan kerjasama polis antarabangsa (Interpol) untuk mengeluarkan notis merah untuk menjejaki kedua-dua individu berkenaan.

Permohonan yang difailkan di Mahkamah Sesyen Putrajaya pagi ini juga bagi membolehkan kerajaan memohon perintah ekstradisi terhadap Jho Low dan bapanya yang dipercayai bersembunyi di China atau Abu Dhabi.

Sementara itu, menurut laporan The Edge, Jho Low dipercayai berdepan lapan tuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Menurut laporan itu, Hock Peng turut berdepan satu tuduhan memindahkan AS$56 juta (RM230 juta) kepada anaknya.

Keseluruhan jumlah dalam urus niaga terbabit dianggarkan sebanyak AS$261 juta (lebih RM1 bilion) untuk penerimaan wang dan AS$196 juta (kira-kira RM805 juta) untuk pemindahan wang tunai yang dilakukan melalui akaun berasingan di Bank BSI Singapura antara Disember 2013 dan Jun 2014.

Sebahagian besar wang itu digunakan untuk membeli kapal persiaran mewah Equanimity bernilai AS$250 juta (RM1 bilion). - UTUSAN ONLINE