Majistret Kamarul Hasyime Rosli memerintahkan Nor Amalina Ab Halim, 31 yang juga seorang ibu tunggal menjalani pemeriksaan tersebut di Hospital Permai di Tampoi, Johor.


Mahkamah juga menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan laporan kesihatan tertuduh.


Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah Zahrah Ismail, 78, dengan mengacukan pisau terhadap mangsa di sebuah hotel di Wakaf Che Yeh, di sini pada pukul 3.20 petang, 16 Disember 2018.


Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengacukan pisau sehingga terkena jari mangsa pada tarikh, waktu dan lokasi sama.


Dia didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Faizuan Sulaiman.


Pada 17 Disember lalu, Utusan Online melaporkan mengenai satu klip video yang tular di laman sosial berhubung seorang wanita yang bertindak di luar batasan apabila menanggalkan pakaiannya sehingga tanpa seurat benang di hadapan hotel tersebut.


Dalam kejadian itu, suspek yang dikatakan menghadapi tekanan perasaan selepas ditinggalkan teman lelaki turut dilaporkan mencederakan orang awam di situ. - UTUSAN ONLINE