Video oleh MAHATHIR ALI

Uji Che Mat, 43, berdepan enam pertuduhan manakala suaminya, Mohd. Zamzuri Abdul Manap, 42, didakwa atas lima pertuduhan. Jumlah pertuduhan tersebut adalah termasuk empat pertuduhan yang dihadapi mereka secara bersama.

Bagi pertuduhan pertama, Uji didakwa menganiaya seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dengan cara menyalakan pemetik api pada kemaluan mangsa dan mengacukan gunting berulang kali sambil mengugut mahu memotong kemaluannya.

Ibu kepada lima orang anak itu juga didakwa bagi pertuduhan kedua iaitu mencabul kehormatan mangsa dengan cara memegang dan menarik kemaluan mangsa.

Uji didakwa melakukan kedua-dua pertuduhan itu di Ribath Tahfiz Asy-Syirazi, Lorong Tok Sira, Jalan Tengku Muhammad di sini pada pukul 11.51 pagi, 18 Ogos lalu.

Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun manakala pertuduhan kedua di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu.

Pada prosiding itu, Uji dan Mohd. Zamzuri didakwa bersama-sama atas empat pertuduhan menganiaya empat kanak-kanak yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun dengan cara merotan berulang kali sehingga mereka mengalami kecederaan fizikal.

Keempat-empat pertuduhan itu yang turut dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001, didakwa dilakukan mereka di pusat tahfiz tersebut pada waktu tengah hari dan petang, antara 2 Januari 2017 dan 31 Januari tahun yang sama.

Mohd. Zamzuri juga menghadapi satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) akta sama kerana didakwa merotan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun pada pukul 8.18 malam, 11 Ogos lalu di pusat tahfiz tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd. Nazari yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM105,000 ke atas Uji dan RM75,000 kepada Mohd. Zamzuri, masing-masing dengan seorang penjamin.

Uji bagaimanapun merayu supaya jumlah itu dikurangkan atas alasan dia tidak bekerja dan pendapatan keluarga adalah bergantung sepenuhnya kepada suaminya yang merupakan guru di pusat tahfiz itu.

Hakim Dazuki Ali kemudian membenarkan jaminan RM25,000 ke atas Uji manakala Mohd. Zamzuri sebanyak RM20,000 untuk semua pertuduhan, masing-ma­sing dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 4 Oktober ini.