Perintah reman ke atas suspek berpangkat lans koperal dan koperal itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Mas Azmimin Ahmad hari ini. 

Permohonan reman dibuat oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Khairi Abdul Karim bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. 

Kedua-dua suspek berusia 24 dan 35 tahun itu disyaki berpakat meminta rasuah RM800 daripada seorang lelaki selepas kereta dipandunya bersama seorang pekerja lelaki warga Bangladesh ditahan berhampiran Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) pada pukul 1 petang, 16 Mei lalu. 

Perbuatan itu dipercayai sebagai balasan untuk tidak menahan pekerja lelaki berkenaan kerana salinan Enforcement Card (E-Kad) warga asing tersebut didakwa tidak sah. 

Kedua-dua anggota polis itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan di sini antara pukul 4.30 petang hingga 5 petang semalam. 

Kedua-duanya diwakili peguam Fadhli Sutris. - UTUSAN ONLINE