Smit ditemukan terjatuh dari tingkat 20 di CapSquare Residences di Dang Wangi di sini, awal Disember 2017.

Permohonan maaf oleh N. Joy Jothi dan Sankara itu dibuat oleh mereka berdua di hadapan Koroner Mahyon Talib kerana pihaknya dan keluarga Smit, 19, menganggap tidak berlaku adil kepada media tempatan apabila hanya media antarabangsa dibenarkan untuk melihat dua unit kondominium berkenaan.

“Kami meminta maaf kerana tidak tahu media tempatan tidak dibenarkan naik malahan hanya difahamkan oleh pegawai penyiasat, mereka (wakil media antarabangsa) merupakan ahli keluarga mangsa. Saya turut diberitahu terdapat kekeliruan berhubung isu ini,” kata Sankara.

Pada Rabu lalu, di hadapan lif lobi, pegawai penyiasat memberitahu media tempatan bahawa dia mendapat arahan untuk membenarkan media antarabangsa sahaja untuk mengikuti lawatan ke tingkat 6 dan tingkat 20 kondominium tersebut serta meminta media tempatan menunggu di lobi.

Terdahulu, semasa prosiding, saksi keempat inkues, juruteknik kondominium tersebut, Ridzuan Zakaria, 32, memberitahu mahkamah, dia dimaklumkan oleh saksi ketiga, warga Indonesia, Suparman kira-kira pukul 2.20 petang, pada 7 Disember tahun lalu bahawa bumbung dan bidai penghadang cahaya di balkoni rumahnya runtuh.

“Saya mengikuti Suparman ke unitnya di tingkat 6 dan ketika memeriksa balkoni tersebut melalui tingkap, saya ternampak sepasang kaki. Saya terus turun dan memaklumkan hal itu kepada Pegawai Pengurusan Bangunan, Vanessa Tanuja Nair,” katanya.

Ketika ditanya, Joy Jothi sama ada dia mengetahui milik siapa kaki itu, dia menjawab tidak tahu kerana dia tiada semasa mayat itu dialihkan. Dia juga memberitahu, semasa dia melihat kaki tersebut, badan mayat itu ditutupi oleh plastik dan besi.

Saksi kelima, Vaneesa Tanuja pula ketika ditanya Joy Jothi dia memaklumkan selepas 15 minit membuat panggilan polis, dia dan pihak polis telah memeriksa tingkat enam tersebut sebelum ke tingkat 20 yang disyaki mangsa kali terakhir berada di situ.

Vaneesa Tanuja memberitahu, dia dan pihak polis telah menekan loceng unit tingkat 20 berkenaan namun tiada jawapan dan polis cuba membuka pintu namun tidak berjaya. Ketika itu, dia terdengar bunyi botol pecah di dalam unit tersebut.

Dia kemudian turun semula untuk menelefon lelaki warga Amerika Syarikat, Johnson dan isterinya Luna warga Kazakhstan yang menghuni unit tersebut, namun tiada jawapan.

Setengah jam kemudian, Vanessa memberitahu, dia dan polis berjaya memasuki unit dan melihat pasangan suami isteri berkenaan dalam keadaan baru bangun tidur dengan keadaan rumah yang bersepah dengan serpihan botol yang pecah dan gincu bibir terbuka ditemukan.

Polis kemudian, membawa pasangan itu ke tingkat enam, lokasi mayat Smit ditemukan dan Vanessa memberitahu, Johnson kelihatan sangat terkejut melihat mayat itu.

Selepas prosiding, datuk mangsa, Hendrik Smit dan neneknya, Ho Sioe Tjoan ketika ditemui berkata, cucunya tinggal bersama mereka selama 14 tahun sejak berusia 18 bulan.

Kedua-duanya yang kini menetap di Batu Feringgi Pulau Pinang sejak tahun 2000 memberitahu, Smit pulang ke rumah ibu bapanya di Belgium semasa berumur 15 tahun telah pulang semula ke negara ini selepas ‘homesick’ merindui kampung halaman pada Oktober tahun lalu. Kali terakhir mereka berjumpa kira-kita sebulan sebelum kejadian pada 11 November 2017.

Inkues di hadapan Koroner Mahyon bersambung 14 Ogos ini dengan keterangan saksi seterusnya. - UTUSAN ONLINE