Hakim Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas menerima permohonan dikemukakan peguam Radzlan Jalaluddin yang mewakili bekas Pegawai Penerangan Lim Guan Eng itu.

Pada 9 Julai lalu, mahkamah sama mendapati Wan Ji bersalah menghasut dan menanam kebencian rakyat terhadap institusi raja-raja.

Abdul Halim seterusnya meminda hukuman penjara ke atas anggota PKR itu dengan menjadikannya setahun berbanding sembilan bulan setelah membenarkan rayuan silang pihak pendakwaan.

Dalam ringkasan penghakimannya pada Selasa itu, Abdul Halim berkata, penerbitan kata-kata menghasut adalah satu penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Terhadap apa yang dinyatakan tertuduh ini seperti mana tertera dalam pertuduhan, saya mendapati ia adalah sesuatu yang sudah terang lagi bersuluh.

“Ini adalah satu tindakan yang melampaui batasan, kita kena ingat kepada prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja-raja.

“Walaupun sebagai warganegara kita diberi banyak kebebasan, namun ia ada had dan ia masih tertakluk kepada undang-undang dan normal kehidupan,” katanya.

 

Terdahulu, 9 April 2018, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara ke atas Wan Ji selepas dia didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Sebelum itu, pada 10 September 2014, Wan Ji mengaku tidak bersalah menerbitkan perkataan menghina Sultan Sharafuddin termasuk membabitkan isu agama dalam akaun Facebook wanji.attaaduddi.

Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, jam 10 pagi, pada 5 November 2012. – UTUSAN ONLINE