Rofiah tiba menaiki van bomba bersama Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah dan Zhafran Rahim Hamzah yang bertindak selaku Pegawai Pengendali Inkues bersama beberapa pihak berkepentingan yang lain seperti peguam keluarga, peguam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Peguam.

Di awal lawatan, mereka di bawa ke lokasi awal kejadian kebakaran kereta sebelum ditunjukkan kawasan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) berhenti di jalan itu untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Turut kelihatan, saksi kedua, Md. Elliza Mohd. Noor yang merupakan pemandu jentera FRT memberi penerangan kepada Rofiah dan Hamdan serta beberapa pihak berkepentingan yang lain.

Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang pada awalnya dijangka menyertai lawatan ini dinasihatkan untuk tidak mengikut rombongan berkenaan atas beberapa faktor.-UTUSAN ONLINE