Sulaiman Abdul Rahman, 63, yang juga bekas anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak salah atas tiga pertuduhan iaitu mencuri, memiliki senjata api dan memiliki peluru tanpa kebenaran.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki satu pucuk pistol Revolver .38 SPL 3" Smith & Wesson tanpa kebenaran yang sah pada 27 Januari lalu di Jalan Sidang Mohd Nor, Kampung Sungai Pinang , Pulau Indah , Klang, Selangor.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat sehingga enam kali jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa memiliki tujuh butir peluru Winchester .38 Special, satu butir peluru .38 SPL dan satu butir peluru .38 SME tanpa kebenaran sah pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Bagi pertuduhan ketiga, Sulaiman didakwa mencuri pistol berkenaan dan 30 peluru milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kaunter stor Cawangan Persenjataan Balai Polis Kuala Pilah pada 27 Disember 2007.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Sara Afiqah Zulkipli mencadangkan supaya tiada jaminan diberikan kepada tertuduh kerana pertuduhan dilakukan di bawah Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

Peguam tertuduh, M. Gobi memohon diberikan jaminan kerana dia menghidap  sakit prostat selain perlu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Seremban. 

Hakim Nariman Badruddin tidak menawarkan jaminan kerana membabitkan kes serius dan menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula.

Dalam kejadian pada 24 Januari lalu, warga emas itu ditahan polis selepas didakwa memukul isterinya dan melepaskan tembakan ke udara ekoran marah dengan tindakan wanita itu memajakkan dua batang pokok rambutan kepada penduduk di Kampung Bukit Kadir, Nilai.

Polis kemudian berjaya menemukan pistol jenis Revolver itu ditanam oleh suspek di sebuah kawasan di Kampung Sungai Pinang pada 28 Januari lalu.- UTUSAN ONLINE