HAFIZ HAMIDUN
HAFIZ HAMIDUN

Hafiz atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Hamidun, 33, memfailkan permohonan tersebut mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 setelah lima bulan menempuhi alam perkahwinan dengan usahawan kosmetik itu.

Berdasarkan notis permohonan tersebut, antara alasan penceraian yang dikemukakan adalah tiada lagi persefahaman antaranya dengan Joy Revfa atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd. Amin, 30, dan tiada lagi kebahagiaan dalam rumah tangga mereka.

Bekas anggota kumpulan nasyid UNIC itu turut mendakwa bahawa Joy Revfa melawan dan mengingkari segala suruhannya sebagai seorang suami termasuk menjatuhkan imej dan reputasi artis itu.

“Joy juga seringkali menyusahkan saya selepas bernikah kerana dia gagal memberikan sijil cerai dengan bekas suaminya yang mana menyebabkan status penceraian mereka hanya di­selesaikan pada 10 Oktober lalu,” katanya yang berasal dari Teluk Intan, Perak.

Ketika ditemui pemberita selepas memfailkan permohonan tersebut, Hafiz memberitahu, dia terfikir untuk memfailkan penceraian pada dua hari lalu iaitu selepas penceraian antara Joy Revfa dengan bekas suami­nya, Datuk Mohd. Rayus Abdul Rahim pada 12 Januari 2015 di­sahkan oleh Mahkamah Syariah Shah Alam pada 10 Oktober lalu.

“Banyak isu tergantung ketika perkahwinan Joy dengan bekas suaminya itu. Pihaknya (Joy) dilihat mendapat hikmah daripada keputusan mahkamah Selasa lalu dan banyak perkara dapat diselesaikan. Keadaan itu sebelum ini memberi impak kepada hubungan kami,” katanya.


Ketika ditanya mengenai dakwaan Joy Revfa adakah mereka pernah melakukan hubungan kelamin atau ‘bersama’, Hafiz berkata, wanita itu sepatutnya waras dan sedar de­ngan apa yang diperkatakannya.

“Definisi ‘bersama’ adalah hubungan seks tetapi kita tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Joy. Kebanyakan apa yang dikatakan tidak berasas dan berunsur fitnah,” katanya yang diwakili peguam syarie, Azmi Mohd. Rais.

JOY REYFA
JOY REYFA

Sementara itu, Hafiz turut memaklumkan dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Joy Revfa masih mengeluarkan kenyataan berunsur negatif berkaitan dirinya kepada umum dan buat masa sekarang dia hanya mahu fokus kepada kes cerai ini.

“Sebenarnya saya tidak berminat langsung dengan apa yang dia luahkan dalam media sosial. Saya tidak mahu layan apa yang dia cakap kerana kenyataannya tidak berasas dan ia lebih kepada emosi,” katanya yang pernah membintangi drama bersiri Jalan Kembali pada 2014.

Mahkamah menetapkan 25 Oktober ini untuk sebutan kes permohonan cerai tersebut.

Saman berhubung permohonan cerai itu diserahkan pada sidang akhbar Joy Revfa pada sebelah petang di Shah Alam.