Di SHAH ALAM, Bernama melaporkan, seorang operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik satu hantaran yang menghina Nabi Muhammad SAW menggunakan aplikasi Facebook, minggu lalu.

A. Taneson, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.

Lelaki itu didakwa telah memuat naik hantaran tersebut dengan menggunakan laman profil Facebook “Sarkar Tanesan” pada kira-kira 11.40 pagi, 19 Februari lalu. Dia dituduh mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Rini Triany mengarahkan tertuduh diikat jamin RM8,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes.

Beliau turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis terdekat dua minggu sekali sehingga kes selesai.


Dalam pada itu, seorang warga emas yang disyaki menghina Nabi Muhammad menerusi laman sosial Facebook minggu lalu akan dihadapkan ke mahkamah di ibu negara, esok.

Sumber Jabatan Peguam Negara memaklumkan, lelaki berusia 68 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu, dalam kes berlainan, suspek yang dipercayai meletakkan patung berhala di atas pagar dan juga tepi pintu Surau Sabilul Huda di Klang akan turut didakwa di Kompleks Mahkamah Klang, Selangor, esok.