Tertuduh Roslina Abu Bakar, 55, dan Ros Zunnurain Mohd Razif, 30, menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibaca semula di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Pada 27 Jun lalu, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut dan mahkamah kemudian menetapkan hari ini sebagai tarikh untuk keputusan kes dan hukuman terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menerima deposit daripada 11 individu berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM44,000 tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) antara Januari hingga Mac 2017.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 137(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azri manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 September dan 23 hingga 26 September depan untuk perbicaraan kes.

Sementara itu, sekumpulan individu dipercayai mangsa yang membayar deposit kepada wanita itu dan anaknya berkumpul di luar mahkamah dan melaungkan perkataan ‘penipu’ terhadap mereka. - UTUSAN ONLINE