Azhar Jaafar, 33, mengaku bersalah melakukan kesalahan itu terhadap Sheikh Md. Sajol kira-kira pukul 3.30 petang, 22 Ogos lalu di Pandan Mewah, Ampang dekat sini.

Bapa satu anak itu didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali turut memerintahkan tertuduh untuk menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap, 22 Ogos lalu.

Terdahulu, Azhar yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan menyara isteri dan seorang anak berusia tujuh tahun serta menghidap penyakit jantung.

“Saya betul-betul insaf dan menyesal atas perbuatan ini. Saya melakukannya kerana terdesak selepas tidak bekerja,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hashimah Hashim memohon hukuman penjara sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat serta mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius sehingga menyebabkan mangsa trauma.

“Pada masa kejadian, tertuduh mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian ketika berada di kaunter pembayaran di kedai runcit berkenaan sebelum memaksa mangsa mengeluarkan wang,” katanya.

Mangsa terus menjerit meminta tolong dan dia telah dibantu oleh orang awam yang berada di sekitar kedai itu. Mangsa kemudian membuat laporan polis. - UTUSAN ONLINE