Saksi ketiga bagi prosiding inkues pada hari kedua, Ahmad Shahril Othman yang merupakan pemandu kenderaan tersebut berkata, ketika kenderaan­nya dikerumuni orang ramai dari kedua-dua bahagian, dia telah menoleh ke kanan sambil memegang stereng dan pintu bagi mengelakkan dibuka dari luar.

“Ketika itu, lebih daripada tiga orang memakai topi ke­ledar cuba membuka pintu dan mengetuk cermin. Pada masa itu, kedudukan saya telah pun membelakangi Muhammad Adib dan sedang cuba menahan pintu daripada dibuka dengan tangan kiri memegang stereng.

“Selepas itu, jentera FRT yang berundur telah mengakibatkan van EMRS berpusing dan berada dekat dengan FRT di bahagian kiri. Pada ketika itu, saya perasaan Muhammad Adib tiada dan keadaan pintu tertutup,” katanya ketika menjawab so­alan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner, Bangunan Annex di sini.

Dalam pada itu, bagi mendapatkan penjelasan dan gambaran terperinci berhubung insiden, jurubahasa Mahkamah Koroner membawa dua bas dan sebuah kereta mainan.


Menceritakan lanjut, Ahmad Shahril berkata, van EMRS yang pada awalnya berada dua meter dari jentera FRT, telah berpu­sing sepenuhnya sehingga bertukar arah.

Jelasnya, bahagian kiri van EMRS telah bergesel dengan bahagian kanan jentera FRT sebelum dia menekan minyak dan berlalu pergi meninggalkan lokasi kejadian menuju ke Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

“Saya telah meletakkan van EMRS di pondok pengawal dan pemeriksaan mendapati kenderaan mengalami beberapa kerosakan di pintu sisi belah kiri tercabut, cermin sisi patah dan tayar pecah tinggal rim sahaja.

“Saya juga telah melihat ba hagian belakang van EMRS dan menemukan beberapa topi ke­ledar berwarna merah dan kelabu. Malah, saya terkejut bila ternampak Hazim di belakang dan bertanyakan di mana Adib, namun dalam keadaan muka pucat dia mengatakan tidak tahu,” ujarnya.

Prosiding inkues hari kedua bagi menentukan kematian Muhammad Adib dimulakan de­ngan lawatan ke lokasi kejadian iaitu di persimpangan Jalan USJ 16/7 berhadapan Kuil Sri Maha Mariamman dan meninjau keadaan jentera serta van yang digunakan pada hari insiden tersebut.