Dalam prosiding yang berlangsung lebih dua jam itu, kesemua mereka didakwa menerima rasuah berkenaan daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.

Kesemua pegawai dan penguat kuasa Gred 19 hingga 29 itu turut berdepan dengan pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan dan tindakan sama (melindungi pemandu lori).

Tertuduh dari JPJ negeri adalah Ahmad Tajuddin Husin, 35,(dua pertuduhan); Najib Mohamad Tarmizi, 32, (empat pertuduhan); Ahmad Daniel Magendran Abdullah, 41, (36 pertuduhan); Hasrol Sani Abu Bakar,39, (lima pertuduhan); Muhammad Airil Teo Abdullah, 31, (12 pertuduhan); dan bekas anggota SPAD, Ahmad Alamin Don, 33, (12 pertuduhan).

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Nizam Zakaria.

Mengikut pertuduhan utama, kesemua mereka didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport &Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn. Bhd., Ooi Cheng Keat sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat terbabit (Sam Lian dan Tyre Sdn. Bhd.) yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tiga buah bank di Bukit Mertajam di antara Mac 2015 hingga Jun 2018.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Kesemua mereka turut berdepan dengan 63 pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan dan tindakan sama (melindungi pemandu lori).

Untuk pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini menawarkan jaminan masing-masing antara RM10,000 hingga RM 35,000 bagi semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Nizam kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin antara RM5,000 hingga RM25,000 dengan seorang penjamin manakala seorang dengan dua penjamin serta menetapkan 12 September depan untuk sebutan semula kes.

Kesemua tertuduh juga diminta untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini, lima tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh manakala seorang tertuduh, Mohd Alamin Don pula tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, pada 28 Mei lalu, sembilan penguatkuasa JPJ termasuk seorang anggota SPAD didakwa atas pertuduhan sama.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki juga turut hadir mendengar prosiding kes berkenaan hari ini. - UTUSAN ONLINE