Tertuduh, Pang Ming Siong, 48, Cheng Foot Leong, 40, dan Tok Chun Whei, 35, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa mengedar dadah berbahaya disyaki jenis methamphetamine dengan anggaran berat 2,064,274.0 gram.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Lot 1162, Kolam Ikan JTM 68, Jalan Tanah Merah, Desa Cemerlang di sini pada pukul 7.30 pagi, 19 Mac 2019.

Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazli manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Abd. Kadir.

Tiada ikat jamin dibenarkan ke atas kesemua tertuduh dan mahkamah menetapkan 23 Mei depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pada 23 Mac lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis berjaya menumpaskan kegiatan enam lelaki mengedar dadah jenis syabu seberat 2.06 tan bernilai RM103.2 juta dalam serbuan di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini.

Dadah yang dibungkus dalam 2,000 peket bungkusan teh Cina dan disorok dalam sebuah kontena yang diletakkan di kawasan ternakan ikan dekat sebuah ladang kelapa sawit merupakan rampasan dadah terbesar dalam sejarah negara.