Walau bagaimanapun, lawatan kali kedua bagi melihat van EMRS di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya di sini itu tidak disertai Koroner Rofiah Mohamad.

Pihak-pihak berkepentingan yang mengikuti lawatan ke ba­lai tersebut ialah Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah dan Faten Hadni Khairuddin selaku Pegawai Pengendali serta peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Pe­rumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Turut menyertai lawatan tersebut ialah Ketua Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Mohd. Shah Mahmood (saksi ke-27) serta Pakar Bedah Forensik HKL, Dr. Ahmad Hafizam Hasmi (saksi ke-24).

Lawatan itu turut disertai bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz yang dahulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Shahrom Abd. Wahid (saksi ke-29) dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman (saksi ke-18).

Mereka tiba di balai ber­kenaan kira-kira pukul 11.30 pagi dan meluangkan masa lebih satu jam meneliti van EMRS tersebut selain berbincang mengenai isu yang dibangkitkan berhubung kecederaan Muhammad Adib dalam insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selangor pada 27 November tahun lalu.

Walau bagaimanapun, peng­amal media hanya dibenarkan berada di balai bomba tersebut selama 15 minit bagi tujuan mengambil gambar sebelum diarah memberikan laluan kepada pihak berkepentingan me­lakukan kerja penelitian pada van EMRS sambil dibantu pihak bomba.

Terdahulu, Hamdan dalam prosiding mahkamah membuat permohonan kepada Koroner Rofiah agar membenarkan pihak pendakwaan melihat keadaan van EMRS itu sebelum meneruskan inkues untuk menyoal Dr. Shahrom yang juga merupakan Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom.

Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan prosiding inkues akan bersambung pagi esok.

Difahamkan, prosiding in­kues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib yang sepatutnya tamat pada esok akan dilanjutkan hingga minggu hadapan.