Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap keempat-empat lelaki yang berusia dari 29 hingga 33 tahun itu.

Tiga anggota polis itu masing-masing berpangkat Sarjan, Koperal dan Lans Koperal yang bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan mereka disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 16 (a)(b) Akta SPRM.

Sumber SPRM memberitahu, tangkapan terhadap kesemua suspek dibuat di rumah masing-masing, di sekitar daerah ini dan Kuala Lumpur dan dilakukan SPRM Pulau Pinang sambil dibantu SPRM Selangor.

"Kegiatan rasuah ini dilakukan oleh suspek hampir enam tahun sejak 2012 dan setiap anggota polis mampu memperoleh secara puratanya sebanyak RM300 sehari.

"Orang awam yang bertindak sebagai 'runner' akan mencari pemilik-pemilik kenderaan yang ingin berurusan dengan suspek-suspek terlibat bagi menutup saman lalu lintas mereka," katanya kepada pemberita, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE