Selain itu, turut dibebaskan seorang pekerja swasta yang juga direman membabitkan kes sama.

Majistret Nik Muizzuddin Nik Muhammad membenarkan pegawai kerajaan itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM5,000 manakala seorang lagi suspek pula RM2,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan secara berasingan.

Pada Rabu lalu, Timbalan Pengarah berusia 42 tahun itu ditahan di sebuah restoran di pusat beli-belah di Putrajaya kira-kira pukul 8 malam ketika melakukan urusan menerima duit tersebut.

Turut ditahan ialah seorang lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pengutip hutang di lokasi dan waktu sama bagi melakukan urusan berkenaan.

Menurut sumber, Timbalan Pengarah tersebut telah meminta wang rasuah berjumlah RM270,000 itu daripada seorang konsultan kononnya sebagai balasan mendapatkan projek membina menara komunikasi bernilai kira-kira 31 juta di Kelantan dan Terengganu.

Tambah sumber itu lagi, suspek juga telah menerima bayaran beberapa kali berjumlah RM248,000 sekitar antara 2015 dan 2016 sebelum ini.

SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM50,000 yang merupakan sebahagian daripada jumlah RM270,000 yang diminta.

USP merupakan satu usaha kerajaan dalam memperluas jaringan komunikasi dan multimedia, khususnya bagi kawasan dan masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan itu.-UTUSAN ONLINE