Ia berikutan keputusan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang membenarkan permohonan pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas untuk memindahkan kes tersebut dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, Hakim Mohd. Nazlan menolak permohonan pihak pendakwaan untuk semua pertuduhan berkenaan dibicarakan bersama dengan tujuh kes SRC yang telah dituduh pada Julai dan Ogos tahun lalu.

Hakim berkenaan dalam penghakimannya berkata, permohonan untuk kesemua kes didengar bersama pada peringkat ini adalah pramatang dan perkara itu adalah di bawah bidang kuasa mahkamah yang akan mendengar kes itu kelak.

Terdahulu, Tommy dalam hujah­nya berkata, prosiding hari ini adalah berhubung permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 427(1)(cc) Kanun Tatacara Jenayah.

“Permohonan pindah kes ini perlu agar mahkamah ini dapat mempertimbangkan permohonan pihak pendakwaan untuk kesemua kes dibicarakan bersama kerana ia berkongsi fakta dan saksi yang sama,” katanya.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berhujah bahawa Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah tidak mempunyai kaitan dengan permohonan untuk kes dibicarakan bersama kerana permohonan itu perlu dibuat berasingan.

Pada 8 Februari lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang RM27,000, RM10,000 dan RM10,000 hasil aktiviti wang haram melalui tiga akaun AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Nombor 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun.