Terdahulu, Lans Koperal Azizan Mohamad, 30, Lans Koperal Muhammad Aiman Najmi Sahran, 26, dan Lans Koperal Abdul Manan Abdul Satar, 33, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.

Bagi pertuduhan pertama, ketiga-tiga tertuduh yang bertugas di Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam didakwa meminta suapan RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 33 tahun.

Suapan tersebut didakwa sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki itu dan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah, pada pukul 1 pagi, 9 Oktober 2016 di hadapan sebuah bank di Jalan Masai Jaya 1, Plentong di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menerima RM2,250 daripada orang sama untuk tujuan tersebut di Jalan Teratai 18, Taman Johor Jaya, di sini pada pukul 4.50 pagi, tarikh yang sama.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Nor­syarina Raizan mencadangkan jaminan RM30,000 untuk setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili Azizan berkata, anak guamnya telah 11 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masih bertugas, mempunyai seorang isteri serta dua anak yang masih kecil selain menanggung ibu bapanya di Tumpat, Kelantan.

Peguam Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly yang mewakili dua lagi tertuduh pula menyatakan, anak guamnya itu hanya berpendapatan RM2,800 sebulan dengan masing-masing mempunyai seorang isteri dan seorang anak.

“Muhammad Aiman Najmi sudah digantung tugas selepas ditahan SPRM dan sejak itu ha­nya bekerja sambilan, manakala isteri­nya baru bersalin anak pertama. Abdul Manan juga sudah digantung kerja,” katanya.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 selain perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap ming­gu pertama pada setiap bulan sehingga kes selesai dan me­netapkan 9 Januari depan untuk sebutan semula kes.