Ketiga-tiga tertuduh, Goh Boon Kheng, 25; Wong Chee Seng, 25, dan Lai Wei Lum, 24, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali, Majistret Nurulnaim Abdullah dan Majistret Nor Azizah Aling.

Di Mahkamah Sesyen, Boon Kheng didakwa atas tiga pertuduhan menjalankan perniagaan memberi pinjam wang tanpa le­sen antara RM980 hingga RM3,000 kepada tiga mangsa dengan faedah bayaran balik antara 20 peratus hingga 30 peratus untuk tempoh satu hingga dua minggu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah premis dekat Lorong Seri Setali, Jalan Air Putih di sini bulan lalu antara pukul 11 pagi hingga 4 petang.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang membawa hukuman denda minimum RM250,000 dan maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dazuki menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 untuk setiap pertuduhan.

Sementara itu di Mahkamah Majisret 1, Boon Kheng bersama dua rakannya, Chee Seng serta Wei Lum didakwa atas tiga pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa telah mengganggu dan mengugut tiga peminjam berumur 22 hingga 44 tahun dan keluarganya dengan mengunci pagar rumah menggunakan rantai serta mangga, membaling cat berwarna merah dan hijau di kawasan halaman rumah serta membuat panggilan telefon berbaur ugutan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga lokasi sekitar daerah ini pada 23 hingga 30 Ogos antara pukul 5 pagi hingga 6.45 petang.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 29(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM250,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau ke­dua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Mohd. Pisol, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Hakimie Ali.

Di Mahkamah Majistret 2, Chee Seng serta Wei Lum didakwa te­lah membantu seorang pemberi pinjaman wang tidak berlesen de­ngan mengedar kad pinjaman wang yang mengelirukan dan tidak jujur dengan maksud mendorong atau cuba mendorong mana-mana orang untuk me­minjam wang atau setuju dengan terma-terma wang itu akan diberi pinjam.

Kesalahan itu telah dilakukan di Indera Mahkota di sini pada 30 Ogos lalu, kira-kira pukul 9.30 malam.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau ke­dua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pe­gawai Pendakwa, Inspektor P. Prabu, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurulnaim menetapkan jaminan RM22,000 kepada setiap tertuduh, manakala Nor Azizah menetapkan jaminan RM5,000 kepada Chee Seng serta Wei Lum.

Ketiga-tiga mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 11 Oktober ini.