Kedua-dua individu terbabit diperkenalkan oleh Nguyen Bich Thuy yang merupakan isteri pemilik sebuah bar tempat Thi Huong, 29, bekerja selepas Mr. Y atau Li memintanya untuk mencari pelakon untuk filem pendek atau lakonan mengenakan seseorang (prank).

Dalam ‘menjayakan’ lakonannya, Thi Huong ‘perlu berpakaian elok, melintasi seseorang dan curah air ke atas kepala’ atau ‘berjabat tangan dengan seseorang’ di lapangan terbang.

Wanita yang pada ketika itu bekerja sebagai pelayan di Hay Bar, Vietnam juga perlu ke luar negara seperti Laos, Thailand, Korea dan Malaysia dan akan dibayar kira-kira VND 7 juta (RM1,200).

Selepas membuat lakonan ‘prank’ pertama di hadapan Hanoi Opera House sekitar Disember, dua tahun lalu, Thi Houng dikenalkan pula oleh Mr. Y yang berdarah campuran Vietnam dan Korea kepada Hanamori yang juga salah seorang suspek dalam kes itu.

Perkara tersebut didedahkan melalui percakapan beramaran Thi Houng dan akuan bersumpah Bich Thuy yang dibacakan oleh peguam bela, Hisyam Teh Poh Teik mewakili tertuduh itu yang dikemukakan pada hari ke-32 perbicaraan kes bunuh itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menurut percakapan beramaran tertuduh kedua yang disahkan oleh saksi pendakwaan kesembilan, Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz, 40, turut memberitahu dia adalah seorang pelakon dan pernah berlakon dalam sebuah drama kepolisan di Vietnam.

Thi Huong dibicarakan bersama-sama warga Indonesia, Siti Aisyah, 26, atas tuduhan membunuh Jong-nam,45, bersama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari tahun lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Wan Azirul Nizam yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang/KLIA berkata, beliau bersedia untuk ke Vietnam untuk mendapatkan keterangan Bich Thuy sekiranya mendapat arahan untuk berbuat demikian daripada pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan selepas mendapat nasihat daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju bahawa kegagalannya merakam percakapan Bich Thuy atau membawa wanita terbabit untuk memberi keterangan di mahkamah telah menyebabkan prejudis terhadap pembelaan tertuduh.

Pegawai polis itu juga tidak bersetuju bahawa dia seorang yang berat sebelah, tidak bebas, tidak berminat dengan kebenaran dan siasatannya hanya menjuruskan kepada interpretasinya sendiri dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang telah ditunjukkan di mahkamah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.