Pindaan tersebut dibuat berikutan pasukan pembelaan yang diketuai peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Rafizi, 40, berhujah pertuduhan sebelum ini cacat dan tidak jelas, semalam.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR itu tetap mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan tersebut selesai dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar.

Hari ini mahkamah sepatutnya mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak berhubung permohonan Rafizi untuk membatalkan pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pindaan tersebut, Rafizi didakwa telah menyiarkan pautan artikel yang bertajuk Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015 di dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016.

Artikel tersebut mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji iaitu sebuah perbadanan yang ditubuhkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 dengan ada sebab untuk mempercayai akan merosakkan nama baik Tabung Haji.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan pada pukul 9 pagi, 18 Februari 2016 di tingkat 18 bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini.
 Bagi pertuduhan itu, Rafizi didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau ke­dua-duanya, jika sabit kesalahan.
 Pertuduhan asal sebelum ini tidak menyebut tajuk artikel yang didakwa bersifat tohmahan di blog pemimpin pembangkang itu sebaliknya melampirkan empat artikel daripada blog tersebut yang keseluruhannya melibatkan hampir 50 muka surat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas sebelum mengemukakan pertuduhan itu memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan berpanda­ngan perlu ada penjelasan dalam pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

“Oleh itu, Seksyen 158 Kanun Prosedur Jenayah dirujuk untuk mengemukakan pertuduhan pindaan terhadap tertuduh,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 September untuk sebutan semula kes serta empat hari perbicaraan bermula pada 28 November ini.
 Pada 8 April tahun lalu, Rafizi mengaku tidak bersalah atas tuduhan telah menyiarkan toh­mahan di blog www.rafiziramli.com terhadap Tabung Haji de­ngan ada sebab untuk mempercayai toh­mahan itu akan mero­sakkan nama baiknya.