Tertuduh, Mohd. Halin Jabar, 52, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki sepucuk pistol jenis semi auto nombor siri 83451 tanpa kebenaran yang sah daripada mana-mana pihak di pos pengawal Idaman Pharma Manufacturing Sdn. Bhd., Lot 120 Taman Farmaseutikal di Seri Iskandar kira-kira pukul 7.55 malam 31 Ogos lalu.

Pertuduhan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md. Yusof mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali.

Tiada jaminan ditawarkan terhadap lelaki terbabit dan mahkamah menetapkan 19 September ini untuk menjatuhkan hukuman.

Tertuduh juga akan dibawa ke Mahkamah Majistret Parit hari ini untuk menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian pada 31 Ogos lalu, seorang pengawal keselamatan Orang Asli daripada suku Semai, Masri Pandak, 37, yang berasal dari Tronoh maut ditembak rakan setugas di pos pengawal di sebuah kilang ubat di Seri Iskandar.

Mangsa yang dijumpai dalam keadaan terbaring dengan kesan tembakan di dada kiri dipercayai ditembak dengan sepucuk pistol dari jarak dekat berhampiran pos pengawal berkenaan.

Motif kejadian itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara suspek dan mangsa tentang isu perbezaan gaji dengan suspek beranggapan mangsa cuba masuk campur urusan kewangan dan pekerjaannya selain menyebarkan cerita-cerita kurang enak mengenai dirinya kepada orang lain. - UTUSAN ONLINE