Muhammad Omar Aliff Rosli, 32, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah dengan niat hendak mengaibkan kehormatan wanita berusia 36 tahun itu sehingga mengganggu kesantunan mangsa dengan cara mengubah suai gambar mangsa sebagai perempuan sundal dan menghantar gambar-gambar tersebut melalui pesanan aplikasi WhatsApp kepada bekas kekasihnya itu.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Bayu Kemensah, Ampang, antara Januari dan Ogos lalu.

Tertuduh yang masih bujang itu didakwa di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira tindakan tertuduh telah menjatuhkan maruah mangsa sebagai seorang wanita.

Muhammad Omar Aliff yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman dikurangkan kerana pendapatannya tidak menentu.

“Saya dah bergaduh dengan dia (mangsa) dah lama, bila dah jadi macam ini dia terus buat laporan polis,” katanya.

Difahamkan tertuduh melakukan perbuatan itu disebabkan tidak berpuas hati kerana mangsa tidak mahu untuk meneruskan hubungan dengannya. - UTUSAN ONLINE