Itu reaksi spontan seorang kelindan lori yang juga orang kurang upaya (OKU) sebaik sahaja dihukum penjara 81 tahun dan sebatan lapan kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana me­lakukan persetubuhan luar tabii, sumbang mahram dan mencabul anak kandungnya antara 2011 dan 2015.

Hakim Zahilah Mohammad Yusoff menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 50 tahun mengaku bersalah terhadap kesemua lima pertuduhan yang dihadapinya.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan persetubuhan luar tabii dengan memaksa mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun melakukan seks oral terhadapnya di sebuah rumah di Taman Sri Saujana di sini pada pukul 4 petang, Mei 2011.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Tertuduh juga menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 376B(1) akta sama kerana merogol anak kedua daripada enam beradik itu pada pukul 2 petang, Mac 2012 di sebuah rumah di Taman Sri Saujana dan mengulangi perbuatan sama pada pukul 12 tengah malam, November 2014 di sebuah rumah di Felda Air Tawar 3, di sini.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa menggunakan keke­ra­san terhadap mangsa untuk mencabul kehormatannya pada pukul 5 petang, Oktober 2014 dan pukul 12 tengah malam, Februari 2015 di Felda Air Tawar 3 di sini.

Kedua-dua pertuduhan cabul itu dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara 15 tahun dan sebatan dua kali manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia dihukum penjara 25 tahun dan 28 tahun serta masing-ma­sing dengan tiga sebatan.

Bagi dua pertuduhan cabul, dia dihukum penjara masing-masing enam tahun dan tujuh tahun.

Mahkamah turut memerintahkan supaya hukuman tersebut berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 September lalu.

Terdahulu, peguam bela, Salwa Sulaiman daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya seorang OKU pendengaran dan baru bekerja selama dua minggu serta belum menerima gaji.

Di mahkamah sama, bapa saudara mangsa berusia 37 tahun turut dihukum penjara lima tahun selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan mangsa pada pukul 12 tengah malam, Mei 2014 di Felda Air Tawar 3.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira perbuatan sumbang mahram adalah satu kesalahan serius.

“Tertuduh sudah bercerai pada 17 Oktober lalu, tidak tinggal serumah dengan mangsa dan mempunyai enam anak berusia antara lima dan 18 tahun yang masih belajar,” katanya.