KAMAL HISHAM JA'AFAR
KAMAL HISHAM JA'AFAR

Kamal Hisham yang memberi keterangan dari kandang saksi berkata, dia sudah beberapa kali menyatakan rasa berat hatinya untuk membenarkan baginda menyertai syarikat tersebut kerana tidak mahu ada campur tangan baginda selain tidak memberi faedah buatnya.

Katanya, perniagaan yang dijalankan Southern Ads berkembang dengan cepat da­lam tempoh dua tahun sehingga menarik minat Sultan Johor untuk menyertai syarikat berkenaan.

“Sultan tertarik de­ngan apa yang kita ada (kontrak dan pendapatan) dan sebab itu tuanku hendak masuk Southern Ads. Baginda sudah beberapa kali melobi saya berkenaan perkara itu setiap kali kami mengadakan perbincangan di Istana Pasir ­Pe­langi.

“Perniagaan yang saya jalankan seakan ‘mengacau’ perniagaan pi­hak lain. Jadi, tuanku berkata kepada saya untuk memasukkan baginda ke dalam syarikat supaya tidak ada pihak lain yang akan mengacau,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakilinya.

Kamal Hisham, 47, berkata, ke­te­rangan saksi pendakwaan yang mendakwa Southern Ads adalah syarikat milik Sultan Ibrahim adalah bohong kerana dia menubuhkan syarikat itu pada 2003, dua tahun sebelum baginda dilantik menjadi pengarah syarikat.

Katanya, disebabkan Southern Ads tidak mempunyai kakita­ngan pada awal penubuhan, segala kerja yang perlu dibuat oleh syarikat itu dilakukan oleh kakitangan firma guamannya, Kamal Hisham & Associates.

“Tentang keberatan untuk membenarkan tuanku menjadi pengarah Southern Ads adalah kesukaran untuk mengadakan mesyuarat dan baginda sendiri tidak mahu keluarkan duit. Saya tahu perangai baginda dan sebab itu saya tidak mahu Sultan Johor masuk ke dalam syarikat,” kata­nya.

Kamal Hisham didakwa atas 17 pertuduhan melibatkan empat pertuduhan pecah amanah, sembilan pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram dan empat pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan pendakwa raya, Zhafran Rahim Hamzah, Ku Ha­yati Ku Harun dan Shukor Abu Bakar manakala Kamal Hakim turut diwakili peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin bersambung esok.