Tidak cukup dengan itu, saksi pendakwaan ke-42 itu juga mendakwa beliau tidak pernah berjumpa dengan mana-mana pihak pengurusan SRC International Sdn. Bhd. sejak dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif syarikat berkenaan.

“Saya tidak tahu bila pinjaman dari KWAP diterima dan saya tidak pernah menjadi penandatangan bagi akaun AmBank berakhir dengan nombor 736. Saya juga tidak pernah melihat penyata bagi akaun tersebut.

“Ada masa, saya tidak tahu sama ada syarikat itu mempunyai pasukan pengurusan. Sebelum saya dilantik sebagai Pengarah SRC, saya pernah berjumpa dengan bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC International, Tan Sri Ismee Ismail. Saya hanya berjumpa dengan beliau sekali saja dan kami juga bukan rakan sekutu,” katanya.

Suboh bagaimanapun memberitahu beliau mengenali Pengarah Kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Terrence Geh namun pada ketika itu tidak dapat memastikan sama ada lelaki terbabit dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau SRC International.

Selain itu, lelaki yang pernah melarikan diri ke Thailand kerana takut turut menyatakan pernah bertemu dengan wakil dan pengasas bersama SRC International, Vincent Koh Beng Huat tetapi tidak tahu peranan mereka.

Saksi tersebut berkata demikian sewaktu soal balas oleh peguam bela, Harvinderjit Singh yang mewakili Datuk Seri Najib pada hari ke-32 perbicaraan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Menjawab pertanyaan mengenai pinjaman dari KWAP berdasarkan penyata akaun yang ditunjukkan oleh Harvinderjit, saksi itu bersetuju bahawa pinjaman tersebut masuk ke dalam akaun 736 dan dikeluarkan pada hari sama.

Berdasarkan penyata akaun SRC International itu juga, Suboh mengesahkan sejumlah RM4 bilion telah didepositkan dan dikeluarkan dari akaun syarikat antara 28 Ogos 2011 dan 30 Mac 2012 namun beliau bagaimanapun tidak mengetahui bagaimana wang tersebut digunakan atau ke mana ia disalurkan.

Bagaimanapun, saksi tersebut tidak menolak kemungkinan bahawa tandatangannya pada notis pengagihan wang berkenaan telah dipalsukan.

Sebelum mahkamah menangguhkan prosiding, Harvinderjit menimbulkan `persamaan’ beberapa perenggan dalam pernyataan saksi Suboh dan Ismee berhubung peranan Najib sebagai Penasihat Emeritus dalam syarikat tersebut.

Saksi tersebut menyatakan, keterangan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah dari mulutnya sendiri. Kenyataan yang diambil itu juga telah ditunjukkan kepadanya dan dipersetujui.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali bersambung 8 Julai ini. - UTUSAN ONLINE