Hakim Datuk Nordin Hassan membatalkan kes saman atas dakwaan penangkapan dan penahanan secara salah kerana disyaki berkhalwat setelah Mohd. Ridhuan Giman memaklumkan, dia dan isterinya, Siti Sarah Maulad Abdullah menarik balik tuntutan tersebut atas alasan menghadapi masalah kewangan. 


Mahkamah mengenakan kos RM3,000 setelah mempertimbangkan masalah kewangan yang dihadapi pasangan terbabit.


Mohd. Ridhuan, 35, dan Siti Sarah, 27, selaku pihak plaintif memfailkan saman tersebut pada 17 Februari tahun lalu, terhadap Jawi dan dua pegawai penguat kuasa jabatan itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama, Ketua Pengarah Jawi dan jabatan tersebut, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kerajaan sebagai defendan pertama hingga ketujuh. 


Pihak plaintif menuntut perisytiharan bahawa tangkapan pada pukul 1.30 pagi, 8 Januari tahun lalu di sebuah bilik hotel bajet di ibu negara itu adalah salah, tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.


Mereka turut menuntut ganti rugi am atas kecederaan reputasi akibat tangkapan dan penahanan salah serta hak privasi mereka dicerobohi.


Mereka turut menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan. - UTUSAN ONLINE