Helmy Abdul Halim, 43, dan isterinya Shanizarina Shamsuddin, 43, yang merupakan eksekutif kanan pentadbiran dan kewangan di yayasan tersebut bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd. Suah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelapan, Shanizarina didakwa telah melakukan pecah amanah melibatkan jumlah RM1,085,296 dengan cara menyalahgunakan harta tersebut untuk kegunaan peribadi.

Wanita itu juga didakwa telah memasukkan wang tersebut ke dalam akaun suaminya yang bukan kakitangan yayasan tersebut.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Helmy didakwa telah bersubahat dengan Shanizarina melakukan pecah amanah wang Yayasan Budi Penyayang berjumlah RM972,936.35.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 408 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Yayasan Budi Penyayang, Tingkat 3, Wisma Equine, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, di sini, antara April 2010 dan November 2013.

Mahkamah membenarkan Helmy diikat jamin RM32,000 dan Shahnizarina RM64,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Masing-masing membayar jaminan itu. Sebutan semula kes pada 11 Jun ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman sementara tertuduh diwakili peguam, Azimah Che Mat. - UTUSAN ONLINE