Seorang pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Puan Sri Sabariah Mohd. Sharif dalam saman pemulanya yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menamakan Azhar Azizan, SPR serta Kerajaan Persekutuan sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Saman yang difailkan secara dalam talian oleh Tetuan Azam Aziz Shaharuddinali & Co itu menuntut pelbagai deklarasi antaranya pengisytiharan bahawa suruhanjaya tersebut tidak wujud

SABARIAH MOHD. SHARIF bersama Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz selepas
SABARIAH MOHD. SHARIF bersama Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz selepas memfailkan saman pemula terhadap Pengerusi SPR, SPR dan Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, semalam.   UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI 

dan tidak sah untuk melaksanakan apa-apa bidang kerana didakwa bertentangan dengan Fasal 114 (1).

Peguam Sabariah, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz berkata, saman yang dikemukakan itu bagi memohon injunksi menghalang perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih Sabtu ini kerana dakwanya, adalah pelik Azhar Azizan berme­syuarat seorang diri dan membuat keputusan seorang diri, sedangkan SPR adalah suruhanjaya.

“Plantif memohon antaranya perintah deklarasi bahawa setakat tarikh tindakan ini, entiti defendan kedua (SPR) adalah tidak wujud dan tidak sah atau tidak berperlembagaan selepas 1 Januari 2019 menurut Fasal 114 (1).

“Selain itu kita juga memohon deklarasi bahawa mesyuarat SPR bertarikh 18 Januari 2019 yang dipengerusikan Azhar Azizan seorang diri tanpa keanggotaan Timbalan Pengerusi dan lima ahli SPR lain adalah tidak sah, terbatal dan melanggar fasal yang sama.

“Injunksi juga dipohon bagi menghalang SPR bermesyua­rat atau apa-apa tindakan me­laksanakan PRK DUN Semenyih sehingga keanggotaan penuh SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan A­gong mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah di sini hari ini.

Pada 21 September lalu, Azhar Azizan, 57, dilantik sebagai Pengerusi SPR selepas bekas Pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah memendekkan tempoh perkhidmatan berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Bagaimanapun, pada Oktober tahun sama, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood serta lima lagi anggota turut mengumumkan peletakan jawatan dan kekosongan tersebut sehingga kini tidak diisi menyebabkan pelbagai pihak tampil mempersoalkan kesahan SPR.

Seterusnya pada 13 Januari lalu, Azhar Azizan berkata, kekosongan jawatan ahli SPR ketika ini tidak mengganggu atau menjejaskan fungsinya, serta tidak akan mewujudkan masalah kepada suruhanjaya itu untuk menguruskan PRK DUN Semenyih.

Dalam pada itu, Mohd. Khairul Azam berkata, pihaknya berharap, mahkamah dapat bersidang segera bagi menentukan kesahan SPR kerana ia melibatkan isu berkepentingan ramai agar perkara berkenaan tidak terus-menerus dipersoal oleh mana-mana pihak.

“Kami berharap kes ini dapat didengar secepat mungkin dan kami bersedia seawal lusa pun jika mahkamah mahu bersidang kerana mahkamah adalah institusi terbaik untuk mentafsirkan keahlian SPR ini mengikut Fasal 114 (1),” jelasnya.