Shahidan bersama Setiausahanya, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Bendahari parti, Datuk Rozabil Abdul Rahman sepatutnya perlu hadir ke mahkamah hari ini untuk menjawab saman berhubung dakwaan pelanggaran kontrak berhubung pembelian 60,000 periuk nasi bernilai RM4.4 juta, kira-kira dua tahun lalu.

Perkara itu disahkan oleh peguam, Hilwa Bustam ketika menyerahkan sijil sakit (MC) semasa pengurusan kes itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Menurut Hilwa, mahkamah menetapkan 24 Ogos ini untuk pihak-pihak yang terlibat dalam saman itu memaklumkan status kes tersebut sama ada berjaya diselesaikan atau sebaliknya.

“Setakat ini perkembangan positif di pihak anak guam kami. Beliau sepatutnya hadir hari ini namun berada di HKL dan saya mengemukakan MC daripada Jabatan Neurologi kepada mahkamah,” kata Hilwa kepada pemberita.

Zahidi dan Rozabil juga tidak kelihatan di mahkamah.

Pemilik tunggal kedai menjual dan membekalkan peralatan elektrik, Ecaster Media Sdn. Bhd., Florence Lee Jye Wen, 29, selaku pihak plaintif telah menyaman Shahidan; Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Datuk Rozabil Abdul Rahman masing-masing merupakan setiausaha dan bendahari badan tersebut ketika itu, sebagai defendan untuk menuntut bayaran yang didakwa sebagai tunggakan hutang RM592,000.

Pihak plaintif menyatakan, pihak defendan telah memungkiri perjanjian berhubung pembelian 60,000 unit periuk nasi elektrik 1.8 liter tersebut.

Dalam pernyataan tuntutan bertarikh 6 April 2017, Florence mendakwa, pada sekitar 15 Mei 2015, UMNO Perlis berminat untuk membeli periuk nasi tersebut dengan mempamerkan logo UMNO negeri itu berserta huruf awalan defendan pertama iaitu DSSK.

Periuk nasi tersebut akan diagihkan 20,000 unit setiap bahagian kepada Arau, Kangar dan Padang Besar.

Pihak plaintif mendakwa, jumlah keseluruhan perjanjian bertarikh 3 Jun 2015 adalah RM4.4 juta pada harga yang dipersetujui namun mendakwa, UMNO Perlis telah memungkiri perjanjian dan gagal melaksanakan tanggungjawabnya di bawah perjanjian itu.

Plaintif sehubungan itu antaranya menuntut RM592,000 bayaran tertunggak yang terhutang kepadanya dan ganti rugi khas bagi kos penyimpanan 8,000 periuk nasi iaitu RM36,511.40. - UTUSAN ONLINE