Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendengar hujahan pasukan pembelaan yang diwakili peguam Rahmat Hazlan selaku pemohon.

Mahkamah menetapkan pelepasan sementara pasport Muhammad Shafee bermula hari ini dan dikembalikan semula pada 5 Mac ini.

Pasport milik peguam itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah susulan beliau menghadapi dua tuduhan pengubahan wang haram dan dua tuduhan mengemukakan penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada 13 September tahun lalu, Muhammad Shafee didakwa melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta.

Peguam itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM5 juta dan penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau itu juga didakwa mengemukakan penyata tidak betul kepada LHDN yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014. - UTUSAN ONLINE