Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu dalam kamar selepas peguam bagi pempetisyen dan responden bersetuju membatalkan pe­tisyen tersebut.

MARZUKI YAHYA
MARZUKI YAHYA 

Peguam yang mewakili Mar­zuki, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk membatalkan petisyen itu selepas meneliti Borang 14.

“Petisyen itu dibatalkan dan res­ponden, Datuk Sha­budin Yahaya akan kekal sebagai Ahli Parlimen Tasek Ge­lugor yang sekarang ini telah menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Keputusan ini dibuat selepas meneliti Borang 14 dan kedua-dua pihak memutuskan bahawa adalah lebih baik petisyen dibatalkan berdasarkan faktor teknikal,” katanya di sini hari ini.

Marzuki yang juga Setiausa­ha Agung Bersatu mengemukakan petisyen mencabar keputusan PRU-14 itu selepas tewas tipis iaitu hanya dengan 81 undi kepada Shabudin yang ketika itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Shabudin pa­da 14 Disember tahun lalu mengumumkan keluar UMNO dan kemudiannya memilih untuk menyertai Bersatu.

SHABUDIN YAHAYA
SHABUDIN YAHAYA 

Tambah Muhammad Rafi­que, pembatalan petisyen itu tidak melibatkan sebarang kos namun hakim memerintahkan Marzuki untuk membayar kos minimum berjumlah RM5,000 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menampung yuran guamannya.