Hakim Zaharah Hussain memutuskan demikian hari ini selepas Gobind Singh Deo yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menunggu keputusan permohonan pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr. Azmi Sharom yang merujuk kes hasutannya ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang akan didengar pada 5 dan 6 November ini.

Gobind berkata, perkara itu penting untuk mengetahui sama ada mahkamah mempunyai kuasa membicarakan kes membabitkan Akta Hasutan dan keputusan meneruskan kes terhadap Rayer bergantung kepada rujukan kes Azmi.

Rayer, 43, daripada parti DAP didakwa menyebut kata-kata menghasut ketika sesi perbahasan di dalam DUN Pulau Pinang pada pukul 9.30 pagi, 20 Mei lalu.

Rayer didakwa mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Rayer mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah pada 27 Ogos lalu.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, Gobind turut memohon perkara sama terhadap anak guamnya itu yang menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama kerana didakwa menyebut kata-kata menghasut dalam ceramahnya di taman permainan kanak-kanak, Jalan Delima di sini, pada pukul 10 malam, 22 Mei lalu.

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan permohonan berkenaan.

Pendakwaan kedua-dua kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Talib.

Bagi pertuduhan pilihan pula, Rayer didakwa mengaibkan dan membangkitkan kemarahan ahli-ahli UMNO dengan melafazkan kata-kata menghasut itu yang boleh memecahkan keamanan awam pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan pilihan dikemukakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.